kita menyangka kita adalah Ahli al-Quran…
kita menyangka kita adalah Ahli al-Quran…
Tiada siapa yang mengatakan al-Quran satu-satunya jalan penyelesaian segala permasalahan kita. Akan tetapi ianya adalah jalan yang paling efektif dan praktikal. Bukankah ianya ubat yang disediakan oleh Allah s.w.t yang Maha Pencipta. “…Katakanlah : Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman…” (41:44)
Al-Quran sangat mudah untuk diulang-ulang.
Di setiap masa dan tempat.
Al-Quran sangat mudah difahami.
Satu ayatnya mengandungi pelbagai makna yang boleh difahami orang yang pandai dan bodoh, lelaki dan wanita.
Al-Quran memiliki nilai yang besar dalam posisi ibadah.
Ganjaran bagi orang-orang yang berinteraksi dengannya sangat besar.
Ini memberikan motivasi yang besar untuk berinteraksi terus menerus dengannya tanpa henti.
Al-Quran tidak akan pernah menjemukan.
Tidak seperti kitab-kitab yang lain.
Setiap perkataan, gaya bahasa, intonasi dan tema pembicaraannya mengetuk pemikiran dan perasaan.
Ini semua memberikan kesan yang sangat mendalam dalam jiwa, menumbuhkan kerinduan yang membuak-buak untuk terus membaca dan mendengarnya.
Al-Quran adalah ubat yang telah teruji keberkesanannya dalam pembentukan generasi awal Umat Islam yang dibangga-banggakan sehingga ke hari ini.
Namun begitu ini tidak bermaksud untuk menggunakan Al-Quran semata dan meninggalkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sunnah umpama saudara kandung Al-Quran. Ianya adalah penjelasan dan penghuraian bagi Al-Quran.
Apa yang kita maksudkan adalah menggunakan Al-Quran sebagai wasilah dan ubat. Agar kembali keseimbangan dalam kehidupan kita, memulihkan hubungan kita dengan Allah swt, mendekatkan kita dengan Rasulullah s.a.w dan beriltizam dengan Sunnah Baginda s.a.w serta mendorong kita untuk menggunakan wasilah-wasilah yang lain dengan lebih mudah dan berkesan.
Dengan kata lain:
Al-Quran adalah wasilah yang akurat untuk mengejutkan diri yang lalai dan membuatkannya sentiasa dalam keadaan siap siaga. Sehingga memudahkannya untuk menunaikan tugas-tugasnya.
Al-Quran adalah pemangkin kepada kekuatan dan sumber kepada kehidupan hati dalam perjalanan kepada Allah swt.
****************************************
PELIK?
Memang benar… Al-Quran telah ditinggalkan sedangkan ianya berada di tengah-tengah kita.
Al-Quran hadir bersama kita dengan para Qari dan Hafiz.
Yang tiada adalah individu Al-Quran yang dikenali sebagai Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi.
Al-Quran hadir bersama kita di dalam masjid, halaqah ilmu, maahad tahfiz, radio dan saluran penyiaran yang lainnya.
Yang tiada adalah kesan dan impaknya.
Al-Quran hadir bersama kita dengan cetakannya yang canggih, ayat-ayatnya yang menghiasi dinding-dinding tertulis dengan warna-warna keemasan.
Yang tiada adalah peranannya yang hakiki dalam memimpin kehidupan ke arah mencari Allah swt.
Al-Quran kita jadikan pembuka majlis. Kita adakan pula pertandingan membaca dan menghafal Al-Quran. Kita adakan kuliah-kuliah.
Akan tetapi, tetap tidak terbit buah-buahnya yang hakiki untuk mewarnai kehidupan kita.
Allah swt telah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk, ubat dan asas kepada perubahan dan pembinaan kepada umat manusia. Itulah rahsia mukjizat sebenar Al-Quran.
Sedangkan belajar, membacanya dan menghafalnya adalah wasilah untuk memudahkan kita dalam memanfaatkan mukjizat itu.
Apa yang menyedihkan adalah kita telah berada sangat jauh dari intipati dan sebab Al-Quran diturunkan. Kita menyangka semua wasilah itu adalah sebab Al-Quran diturunkan, lalu kita berlumba-lumba dalam memperelok bacaan dan mencuba menghafalnya dalam masa yang paling singkat tanpa mengambil perhatian terhadap makna-makna keimanan yang memenuhi setiap ayatnya.
****************************************
Lalu…apakah yang berlaku???
Mukjizat Al-Quran terhenti, seakan-akan tiada keberkesanannya.
Umat Islam lupa kepada rahsia kemuliaan dan keistimewaan mereka di sisi Allah swt.
Timbul kesenjangan antara realiti yang mesti berlaku, yang telah berlaku dan yang sedang berlaku antara kata-kata dan perbuatan.
Generasi Al-Quran seolah-olah pupus.
Kita menyangka bahawa kita membaca Al-Quran
dan mengkhatamkannya sekurang-kurangnya sekali setiap bulan, bahkan kita juga menghafalnya.
Kita juga mengajarkan Al-Quran kepada orang ramai.
Orang-orang sekeliling kita juga berinteraksi
dengan Al-Quran seperti kita.
Lalu kita menyangka kita adalah Ahli Al-Quran.
Namun begitu, kita tidak merasa perbezaan dalam diri kita. Tiada beza antara kita dengan orang yang tidak peduli dengan Al-Quran. Bahkan keadaan kita mungkin lebih teruk lagi dari mereka.
Itulah keluhan yang biasa didengar dari orang-orang yang berinteraksi dengan Al-Quran. Bahkan yang sangat dibimbangkan adalah seorang itu menyangka perhatiannya kepada lafaz-lafaz Al-Quran dan atur huruf dan baris telah menjadikannya sebagai Ahli Al-Quran.
Ahli Al-Quran yang sebenar adalah orang yang beramal dengannya dan mengambil manfaat dari mukjizatnya.
Sesungguhnya sekadar membaca Al-Quran dan menghafalnya boleh dilakukan oleh orang dewasa dan kanak-kanak, mukmin dan munafiq, soleh dan toleh bahkan kafir sekalipun. Ianya seolah-olah bahan bacaan yang lain.
Semua itu tetap tidak menjadikan mereka ahli Al-Quran.
“Jangan engkau tertipu dengan orang yang membaca Al-Quran kerana ianya seolah-olah perkataan yang kita katakan. Akan tetapi lihatlah orang yang beramal dengannya.” [Umar Al-Khattab R.A]
