::Maklumat::Ilmiah::Informasi::Berita::Tazkirah::

March 27, 2007

Jangan jadi doktor kejar glamor

Filed under: Berita

Jangan jadi doktor kejar glamor

KUALA LUMPUR 27 Mac – Kerjaya sebagai doktor bukan untuk mengejar glamor atau mencari kekayaan tetapi bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, kerjaya sebagai doktor banyak terdedah kepada cerita sedih tentang kesakitan yang dihadapi oleh seseorang tetapi doktor menerima kepuasan apabila melihat pesakit pulang selepas semakin pulih.

‘‘Tiada kehidupan sosial yang aktif dan tidak tidur lebih 24 jam adalah satu kebiasaan bagi seorang doktor.

‘‘Pelajar yang ingin menceburi bidang ini perlu bersedia dari segi mental dan fizikal serta tidak sepatutnya memilih bidang perubatan jika langkah itu hanya untuk memenuhi kemahuan ibu bapa,” kata Zaininah ketika berucap kepada 152 pelajar yang mengikuti Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor di HKL di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya tidak mengambil mudah pengajian bidang perubatan yang mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh tahun melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM500,000 bagi setiap pelajar.

Program

Para pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada 1,614 calon Program Ijazah Luar Negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2007 dari seluruh negara yang diwajibkan mengikuti program pendedahan tersebut sebelum ditaja untuk belajar bidang perubatan di universiti-universiti seberang laut.

Program tersebut diadakan selama tiga hari bermula hari ini di 46 buah hospital kerajaan di seluruh negara.

Calon-calon yang menyertai program tersebut di Kuala Lumpur didedahkan kepada enam jabatan utama HKL iaitu kecemasan, pesakit luar, pembedahan, ortopedik, forensik serta obstetrik dan ginekologi.

Zaininah menegaskan bahawa kerjaya sebagai doktor adalah satu ‘perjanjian’ seumur hidup yang tiada ruang untuk kecuaian dan kesilapan ketika merawat pesakit.

‘‘Etika perlu dijaga, penampilan mesti kemas tetapi yang paling penting keputusan kena dibuat dengan tepat dan pantas terutama ketika merawat kes-kes kecemasan.

‘‘Unit pesakit luar HKL menerima lebih 2,000 pesakit sehari. Oleh itu, pelajar perlu faham betapa penting kaedah rawatan pesakit ditentukan dengan tepat dan pantas walau di jabatan mana sekalipun seseorang ditempatkan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, doktor kini juga perlu pandai melayan pesakit yang lebih memahami bidang kesihatan berbanding dahulu dan mereka banyak bertanya mengenai masalah kesihatan yang dihadapi.

Comments »

The URI to TrackBack this entry is: http://hosmu.blogsome.com/2007/03/27/jangan-jadi-doktor-kejar-glamor/trackback/

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Line and paragraph breaks automatic, e-mail address never displayed, HTML allowed: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <code> <em> <i> <strike> <strong>


Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Chris M