::Maklumat::Ilmiah::Informasi::Berita::Tazkirah::

March 27, 2007

Jangan jadi doktor kejar glamor

Filed under: Berita

Jangan jadi doktor kejar glamor

KUALA LUMPUR 27 Mac – Kerjaya sebagai doktor bukan untuk mengejar glamor atau mencari kekayaan tetapi bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, kerjaya sebagai doktor banyak terdedah kepada cerita sedih tentang kesakitan yang dihadapi oleh seseorang tetapi doktor menerima kepuasan apabila melihat pesakit pulang selepas semakin pulih.

‘‘Tiada kehidupan sosial yang aktif dan tidak tidur lebih 24 jam adalah satu kebiasaan bagi seorang doktor.

‘‘Pelajar yang ingin menceburi bidang ini perlu bersedia dari segi mental dan fizikal serta tidak sepatutnya memilih bidang perubatan jika langkah itu hanya untuk memenuhi kemahuan ibu bapa,” kata Zaininah ketika berucap kepada 152 pelajar yang mengikuti Program Pendedahan Kerjaya Seorang Doktor di HKL di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan para pelajar supaya tidak mengambil mudah pengajian bidang perubatan yang mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh tahun melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM500,000 bagi setiap pelajar.

Program

Para pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada 1,614 calon Program Ijazah Luar Negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2007 dari seluruh negara yang diwajibkan mengikuti program pendedahan tersebut sebelum ditaja untuk belajar bidang perubatan di universiti-universiti seberang laut.

Program tersebut diadakan selama tiga hari bermula hari ini di 46 buah hospital kerajaan di seluruh negara.

Calon-calon yang menyertai program tersebut di Kuala Lumpur didedahkan kepada enam jabatan utama HKL iaitu kecemasan, pesakit luar, pembedahan, ortopedik, forensik serta obstetrik dan ginekologi.

Zaininah menegaskan bahawa kerjaya sebagai doktor adalah satu ‘perjanjian’ seumur hidup yang tiada ruang untuk kecuaian dan kesilapan ketika merawat pesakit.

‘‘Etika perlu dijaga, penampilan mesti kemas tetapi yang paling penting keputusan kena dibuat dengan tepat dan pantas terutama ketika merawat kes-kes kecemasan.

‘‘Unit pesakit luar HKL menerima lebih 2,000 pesakit sehari. Oleh itu, pelajar perlu faham betapa penting kaedah rawatan pesakit ditentukan dengan tepat dan pantas walau di jabatan mana sekalipun seseorang ditempatkan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, doktor kini juga perlu pandai melayan pesakit yang lebih memahami bidang kesihatan berbanding dahulu dan mereka banyak bertanya mengenai masalah kesihatan yang dihadapi.

Nik Aziz cadang pegawai polis baca khutbah pegang raifal M-16

Filed under: Berita

Nik Aziz cadang pegawai polis baca khutbah pegang raifal M-16
Oleh HERMAN HAMID

KOTA BHARU 26 Mac – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan supaya pegawai polis yang menyampaikan khutbah Jumaat memegang senjata api seperti M-16 ketika berada di atas mimbar bagi menggantikan tongkat.

‘‘Saya pernah saran sebelum ini kerana Rasulullah sendiri pegang pedang ketika baca khutbah. Ini bertepatan dengan simbol kuasa baginda selaku ketua termasuk dalam soal pertahanan, dan polis juga boleh ambil contoh itu kerana polis juga adalah simbol kuasa dalam sistem masyarakat sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan video cakera padat (VCD) Panduan Solat Bahasa Isyarat peringkat negeri Kelantan, di sini hari ini.

VCD berkenaan diterbitkan oleh Yayasan Orang Pekak Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Nik Aziz juga mencadangkan kepada polis negeri ini supaya menjadikan amalan membaca khutbah Jumaat yang dirintis oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi Jumaat lalu sebagai satu aktiviti yang dilakukan secara berkala.

Abdul Rahim menyampaikan khutbah itu sempena sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Ke-200 yang disambut semalam sebagai usaha merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Malah, katanya, amalan tersebut sewajarnya diperluaskan kepada kesemua jajahan di negeri ini kerana pendekatan itu diyakini dapat memberi kesan dalam usaha membendung peningkatan kes jenayah.

Menurut beliau, usaha polis Kelantan itu dianggap bertepatan untuk menyedarkan masyarakat supaya meninggalkan perbuatan jenayah melalui konteks Islam dan tidak lagi menyerahkan tugas berkenaan kepada guru agama atau ustaz sahaja.

‘‘Sebab itu saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Polis Kelantan dan timbalannya kerana menjadi pasukan polis pertama melaksanakannya. Ini membuktikan polis juga boleh berkhutbah dengan baik.

‘‘Sudah tentu saya sebagai Menteri Besar berasa berbangga kerana Kelantan sekali lagi bertuah menjadi negeri yang pertama mempelopori pendekatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut mencadangkan kepada polis negeri supaya memastikan kandungan teks khutbah itu memfokuskan secara sepenuhnya hal-hal berkaitan mengurangkan perilaku jenayah selain membangkitkan kesedaran jemaah untuk bekerjasama dengan polis.

December 23, 2006

Pilihan raya: Jentera Pemuda Pas digerakkan

Filed under: Berita

Pilihan raya: Jentera Pemuda Pas digerakkan

KOTA BHARU 23 Dis. – Dewan Pemuda Pas mula menggerakkan jenteranya di seluruh negara melalui program Himpunan 15,000 ahlinya di sini hari ini bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pada perhimpunan tersebut yang diadakan di Padang Perdana di sini, Ketuanya, Salahuddin Ayub mengingatkan ahli-ahli pergerakan itu supaya bersiap sedia dengan ketibaan tahun 2007 yang dianggapnya sebagai tahun pilihan raya.

Beliau mahu semua jentera dari peringkat negeri, kawasan dan cawangan mempersiapkan diri masing-masing bagi memastikan Pas dapat bangkit dan mencatatkan kemenangan lebih besar.

“Kita rela tewas tetapi tidak rela dikalahkan melalui cara-cara yang kotor,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada perhimpunan itu.

Program perhimpunan bertemakan Pemuda Peneraju Kebangkitan adalah yang pertama diadakan selepas tempoh hampir 20 tahun dan ia dihadiri oleh ahli pergerakan itu dari seluruh negara.

Turut berucap pada program sehari itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Salahuddin dalam ucapannya turut mengajak ahli-ahli Pas untuk mendampingi golongan bermasalah yang terjebak dalam pelbagai kancah sosial melalui gerakan yang dinamakan duta penyelamat dan kasih sayang.

Katanya, dengan peranan itu, ahli-ahli Pemuda Pas perlu bertindak sebagai ejen yang mampu mengubah golongan yang hanyut ini seperti penagih dadah agar bukan sahaja kembali ke pangkal jalan malah mendekati perjuangan Islam melalui Pas.

“Insya-Allah kita akan lihat sejauh mana kemampuan usaha ini kerana sasaran saya apabila Ibu Pejabat Pas berpindah ke kawasan Chow Kit awal tahun hadapan, kita harap kehadiran Pemuda Pas di situ akan dapat mengubah landskap kawasan tersebut.

//utusan malaysia

February 13, 2006

Nikah Berwalikan Hakim

Filed under: Berita

//Semalam, masa liqa’, kami ada sembang pasal keratan akhbar ini:-

Suami isteri terpaksa kahwin semula
Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 10 Feb. - Sepasang suami isteri yang dinikahkan setahun lalu oleh kadi daerah ini kini terpinga-pinga, setelah pejabat agama itu memberitahu pernikahan mereka tidak sah.

Ekoran itu pasangan berkenaan Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin, 24, dan isterinya, Zanariah Abdullah, 24, diarahkan `berpisah’ (farakh). Mereka hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

Zanariah mendakwa, pernikahan di rumahnya di Jalan Datuk Haji Kosai di sini pada 5 Februari tahun lalu diiktiraf tidak sah oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut baru-baru ini.

Kedua-dua pasangan itu kini berpisah sebagai suami isteri sejak 2 Februari lalu.

Utusan Malaysia diberitahu, perpisahan itu terpaksa dilakukan kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu.

Keputusan Jabatan Agama Islam daerah itu dibuat oleh tiga orang pegawai di jabatan itu secara lisan dan tanpa sebarang hitam putih.

Menurut Zanariah, pegawai-pegawai itu memberitahu, pernikahan tersebut adalah tidak sah dan mereka dikehendaki berpisah (farakh) selama tiga kali bersuci sebelum dibenarkan bernikah semula.

“Menurut ketiga-tiga pegawai terbabit, ia tidak sah kerana berlaku kesilapan pada wali iaitu pernikahan yang kami langsungkan menggunakan wali hakim, sedangkan ketika itu adik lelaki saya masih ada.

“Apa yang saya kesalkan ialah sewaktu majlis pernikahan itu berlangsung, kami sekeluarga telah membangkitkan persoalan kenapa adik saya tidak dijadikan wali?

“Namun pegawai pendaftar nikah Mukim Parit Bakar berkata, dia lebih arif dalam menjalankan urusan pernikahan itu dan tidak perlu menggunakan wali adiknya,'’ dakwanya di sini hari ini.

Adik lelaki Zanariah, Mohd. Shafiq berusia 19 tahun ketika itu dan layak menjadi wali setelah kematian bapa mereka, manakala abangnya, Mohd. Bahauldeen, 25, pula berada di luar negara ketika upacara itu berlangsung.

Zanariah merupakan pelajar tahun dua Kursus Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam manakala suaminya bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, dia dimaklumkan mengenai ketidaksahihan pernikahannya itu baru-baru ini sewaktu kakaknya menguruskan proses pernikahannya yang dijangka pada Mac depan dengan pejabat agama itu.

Apa yang lebih mengecewakan mereka, katanya, pegawai jabatan terbabit pernah memaklumkan kepadanya bahawa kejadian seperti itu pernah berlaku di Perak, dan dia tidak sepatutnya memperbesar-besarkan hal itu ke pengetahuan pihak umum.

Sementara itu, Kadi Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim memberitahu, daripada penjelasan yang diterimanya, beliau mengklasifikasikan kes itu sebagai nikah fasil, iaitu pernikahan yang tersilap tanpa disedari kedua-dua pasangan dan jika mereka mempunyai anak hasil perkahwinan itu, ia masih boleh dibinkan kepada pasangan lelaki.

“Jabatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat faktor kekhilafan dalam mengendalikan kes ini dan berjanji akan menyiasat serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang terlibat,'’ jelasnya.

kalau dah adik bagi izin untuk kakaknya diwalikan oleh hakim, nikahnya sah kan. tapi tak tahu la, mungkin ada point yang tersembunyi atau tersirat dalam berita ni. husnu dzan…\\

Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Chris M